Beratur
Tak kunjung tiba
3 perkara yang menyakitkan jiwa, betul tak. Kebelakangan ni aku dapati diri ini banyak menunggu.
Semalam aku berdiri menunggu selama 1 jam di Maybank untuk proses yang mengambil masa tak sampai 10 minit.
Selepas itu, menunggu pensyarah dan kawan sekumpulan yang tak kunjung tiba hampir setengah jam.
Hari ini aku menunggu selama 2 jam di klinik untuk sesi konsultansi yang mengambil masa kurang 10 minit.
Biasa kita dengar, penantian satu penyeksaan. Benar, jika penantian itu kosong tak diisi. Saat demi saat berlalu seperti titis air hujan di penghujung waktu. Bosan, itu yang sering terpacul dari mulut yang lama menunggu.
Semalam aku menunggu dengan bermain game di handphone. Ketika bermain itu, aku asyik terfikir, betapa ruginya masa, tak digunakan untuk sesuatu yang lebih berfaedah. Betapa ruginya rasa tak membawa buku untuk dibaca. Satu jam itu seperti satu fasa yang sangat tak bermakna dan yang dapat hanya sakit di kaki dan pinggang. Hendak salahkan pihak bank? Mereka membuka semua kaunter yang ada tapi kerana pelanggan yang datang ibarat air banjir, memenuhi ruang dalam bank sehingga berdiri pun tak ber ruang, maka tak terlayanlah dengan segera.
Begitu juga ketika di klinik. Sekali datang pesakit seramai 15 orang tetapi doktornya cuma seorang, jadi bayangkanlah. Cuma bezanya, klinik ini ada banyak bahan bacaan dan kerusi disediakan di ruang menunggu. Ada surat khabar, Solusi, Iman, Ujang juga risalah perubatan. Habis aku baca senaskhah surat khabar metro dan 2 naskah ujang dalam tempoh menunggu itu. Ada seorang pesakit bertanya sudah berapa lama aku menunggu. Sambil tersenyum aku menjawab, hampir 1 jam setengah. Dia menarik nafas panjang lalu melepaskan keluhan. Selain itu ada televisyen yang menayangkan dokumentari. Pernah sekali aku datang ke klinik ini, aku berpeluang melihat dokumentari yang memaparkan kerbau melahirkan anak. Mungkin pihak bank perlu sediakan televisyen juga untuk membuat pelanggan leka dan tidak bosan menunggu.
Kalau anda perlu menunggu sama ada orang, pengangkutan awam atau servis, apa yang boleh anda lakukan. Berdasarkan pemikiran dangkal dan kurang kreatif ini ada beberapa aktiviti yang boleh anda lakukan:
1. Berzikir kepada Allah, tuhan yang menciptakan masa lalu bersyukur diberi peluang untuk terus bernafas di dunia ini. Mati itu pasti, hidup...insyaAllah. Bukankah kita semua sentiasa menunggu mati? Jadi kenapa tak diisi masa menunggu itu dengan berzikir dan beristighfar. Tak perlu ada tasbih. Cukup dengan jari yang dicipta Allah untung menghitung.
2. Baca. Bacalah apa sahaja yang boleh membuat anda lari sebentar dari dunia realiti. Orang kata buku adalah tetingkap ke dunia fantasi. Jadikan satu tabiat untuk membawa senaskah bahan bacaan di dalam beg kemana sahaja anda pergi. Baca ketika menunggu tren tiba, baca ketika dalam tren menunggu sampai ke destinasi (buat mereka yang tak mabuk kenderaan kalau membaca). Cuma tak digalakkan membaca buku ketika menunggu giliran untuk masuk ke tandas.
3. Berbicara. Kenapa tidak jadikan menunggu satu peluang untuk berkenalan? Anda boleh bertegur sapa dengan orang sebelah sambil berborak serba sedikit tentang apa sahaja topik yang dipilih. Kadangkala manusia terlalu sibuk dengan handphone masing-masing sehingga lupa untuk mengeratkan silaturrahim dengan masyarakat sekitar.
4. Berimaginasi. Atau dalam erti kata lain berangan. Imaginasi adalah satu medan untuk mengasah kretiviti dalam diri seseorang. Sebagai contoh, aku ingin menjadi seorang penulis novel fiksyen penyiasatan jadi aku perlu sentiasa mencari idea untuk menghasilkan satu cerita menarik yang dapat menjentik keterujaan pembaca lalu imaginasi menjadi senjata utama.
5. Memerhati. Berapa ramai antara kita yang benar-benar memerhati keadaan sekitar berbanding melihat? Apa yang perlu anda perhatikan? Jika anda seorang yang sukakan hiasan dalaman, perhatikan bagaimana perabot disusun (jika dalam bangunan). Jika anda seorang yang suka melihat ragam manusia, perhatikan bagaimana setiap manusia yang menunggu itu menghabiskan masa. Jika anda sukakan diri sendiri, perhatikan kuku di jari, setiap urat dan garis-garis di tangan.
Jadi apa lagi yang ditunggu? Selamat menunggu!
0 comments:
Post a Comment