Dalam persahabatan, manusia kadang menjadi tamak, mahu dirinya sering diperhati dan disayangi. Kadang kita lupa, yang sahabat kita punya orang lain disekeliling mereka, dan ada kehidupan yang tersendiri.
Mycroft: he (watson) gets on with his life.
Sherlock: what life? I've been away.
Ilusi bahawa bagi sahabat kita, kita adalah segala-segalanya bukan sahaja memakan diri tetapi juga menghancurkan persahabatan yang sudah lama terjalin.
Aku juga punya sahabat, yang aku ceritakan banyak perkara kepadanya. Tentang hidup sehari-hari, tentang masa lepas bahkan masa yang belum terjadi. Dan fikirku, dia juga begitu. Tetapi sebenarnya, dia banyak berahsia, banyak perkara yang tidak aku ketahui tentang dirinya. Apabila ada berlaku apa-apa perubahan dalam hidupku, dia antara yang terawal tahu tetapi bagi dia, aku tidak termasuk dalam senarai yang perlu tahu.
Untuk menerima hakikat, yang aku bukanlah sepenting yang aku sangka amat memeritkan. Perasaan sunyi mencengkam jiwa setiap kali kami berbicara. Apa sahaja yang dia katakan, dan setiap nasihat yang dia lemparkan tidak langsung meresap ke dalam hati, malah terlepas dari fikiran sendiri.
Ya, aku tamak, mahu segenap perhatian dari sahabatku. Tapi kini aku sedar, dia sahabatku tapi aku cuma temannya.